Top Ad 728x90

,

Surat Kepada Perdana Menteri

"Satu lah kita Melayu, Cina, India dan lain-lain. Malaysia ialah rumah kita ..." ini ayat pertama seorang pelajar, Muhammad Hanif Ahmad, di dalam eseinya mengenai 1Malaysia.

Penulis berharap Muhammad Hanif akan benar-benar menyampaikan pandangannya mengenai gagasan 1Malaysia ini kepada Perdana Menteri apabila kini peluang dibuka untuk pelajar satu Malaysia meluahkan suara hati mereka kepada Perdana Menteri.

"Surat Kepada Perdana Menteri" ialah pertandingan yang dianjurkan Pos Malaysia Berhad yang diumumkan baru-baru ini untuk mempelawa warga muda menyuarakan visi 1Malaysia mereka.

Bertepatan dengan Rumah Terbuka Krismas 1Malaysia baru-baru ini, pertandingan itu dilancarkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Kota Kinabalu.

YAB PERDANA MENTERI

"Ke hadapan YAB Perdana Menteri," pelajar diminta memulakan surat mereka dengan kata pendahulu ini sebelum meneruskan luahan hati dalam 300 hingga 500 patah perkataan mengenai 1Malaysia dan diakhiri dengan tanda tangan mereka.

Pertandingan ini dibuka kepada pelajar sekolah seluruh negara yang berusia 7 hingga 17 tahun bermula dari 29 Disember lepas dan berakhir 19 Februari ini.

Visi yang disampaikan bagaimanapun mestilah mengandungi faktor kepentingan perpaduan kaum.

"Tulis satu lembaran surat kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai hasrat atau cadangan anda terhadap kepentingan perpaduan kaum dan hidup bersatu, serta apa yang boleh dilakukan untuk terus mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1Malaysia," demikian syarat yang dinyatakan Pos Malaysia.

Pos Malaysia menganjurkan pertandingan ini bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan mendapat kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran. RTM pula bertindak sebagai rakan media.

Pelajar dari 10,000 buah sekolah dijangka menyertai pertandingan ini yang dibahagikan kepada dua kategori: Kategori A untuk sekolah rendah dan kategori B untuk sekolah menengah.

Enam surat terbaik akan memenangi beberapa hadiah menarik dalam bentuk wang tunai sehingga RM5,000, kamera digital, kamus, baucer buku dan koleksi setem. Dua pemenang teratas masingmasing akan menerima sebuah komputer riba sebagai hadiah utama di samping hadiah iringan.

SALURAN UNTUK WARGA MUDA

"Kami ingin menyediakan satu saluran kepada warga muda Malaysia untuk menyuarakan pengertian mereka tentang 1Malaysia dan saranan mereka dalam mencapai visi itu," kata Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia mengenai pertandingan ini.

Beliau berkata pertandingan ini juga dilihat mampu memperkenal semula dan memupuk minat serta seni menulis dalam kalangan generasi muda.

Bagi beliau, kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat mengakibatkan menulis bagaikan seni yang hampir dilupakan.

Pertandingan ini juga akan mencungkil pemikiran kreatif kalangan pelajar sekolah serta merangsang kebolehan mereka menulis dalam Bahasa Malaysia dengan tepat, katanya.

Syed Faisal yakin Pos Malaysia yang mempunyai rangkaian pejabat pos sebanyak 694 di seluruh negara selain pejabat pos mini, wakil pos dan pejabat pos bergerak, mampu mengendalikan kebanjiran ribuan surat pelajar yang menyertai pertandingan ini.

KE MANA WARKAH DIALAMATKAN

Pelajar yang berminat menyertai pertandingan "Surat kepada Perdana Menteri" ini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya melalui poster-poster yang dipamerkan di sekolah mereka atau melayari laman web www.pos.com.my atau www.skmm.gov.my.

Mereka juga boleh menghubungi sekretariat "Surat kepada Perdana Menteri" di talian 03-2267 2000 atau 03-8688 8409.

Sesuai dengan tradisi menulis surat, luahan hati pelajar ini harus bertulis tangan, kemas dan mudah dibaca. Surat bertaip tidak dibenarkan sama sekali.

Jangan lupa! Penganjur mengingatkan supaya pelajar mendapatkan cop pengesahan sekolah sebelum menghantar surat ke alamat "Pertandingan Menuls Surat kepada Perdana Menteri", Peti Surat 1000, 50796 Kuala Lumpur.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90